Manfaat & Kelebihan Siwak / Miswak (Kayu Sugi)

By September 21, 2020Uncategorized

Di dalam kitab Sahih Bukhari & Muslim, diceritakan bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

(‏لَوْلا أن أَشُقَّ على أُمَّتى لأَمَرْتُهُمْ بالسِّواكِ عند كُلِّ صلاةٍ‏)

“Sekiranya bukan kerana akan menyusahkan umatku, sudah tentu saya akan memerintahkan mereka untuk menggunakan Siwak (kayu sugi) setiap kali sebelum solat.”

Selain itu, dalam Sahihain (2 kitab sahih tersebut di atas), juga diceritakan bahawa:

أنه صلى الله عليه وسلم كان إذا قامَ من اللَّيل يَشُوصُ فَاهُ بالسِّوَاكِ‏

“Setiap kali Nabi Muhammad S.A.W bangun pada waktu malam, Baginda akan membersihkan mulut Baginda dengan Siwak”.

Imam Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

(‏السِّوَاكُ مَطْهَرَةٌ لِلْفَمِ، مَرْضَاةٌ للرَّبِّ‏)

“Siwak membersihkan mulut dan menggembirakan Tuhan (Allah).”

Imam Muslim di dalam kitab Sahihnya meriwayatkan bahawa:

أنه صلى الله عليه وسلم كان إذا دَخَلَ بيته، بدأ بِالسِّوَاكِ‏

“Setiap kali Nabi Muhammad S.A.W masuk ke rumahnya, Baginda terlebih dahulu akan menggunakan Siwak”.

Hadis sahih mengatakan bahawa seketika sebelum wafat, Nabi Muhammad S.A.W menggunakan Siwak. Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

‏أكْثَرْتُ عَلَيْكُم في السِّوَاكِ

“Saya telah menyusahkan anda dengan sering menekankan penggunaan Siwak.”

Jenis Siwak yang terbaik adalah yang dibuat dari pokok dipanggil pokok ‘Al-Arak'(الأراك). Selain itu, seseorang tidak boleh menggunakan pokok yang tidak diketahui untuk bersugi kerana ia mungkin beracun. Siwak harus digunakan secara sederhana, kerana boleh menyebabkan lapisan gigi menjadi nipis dan oleh itu gigi akan mudah rosak akibat wap panas atau gas yang naik dari perut dan segala kotoran yang lain. Apabila Siwak diguna secara sederhana, ia akan membersihkan gigi, menguatkan akar gigi, menguatkan lidah, mencegah plak(karang gigi), menyegarkan nafas, mengosongkan minda dan memulihkan selera makan.

Cara terbaik untuk menggunakan Siwak adalah dengan merendamnya dalam air mawar. Di samping itu, Siwak yang berkualiti juga dibuat dari akar pokok walnut. Pengarang kitab At-Taysir berkata, “Dikatakan bahawa ketika seseorang menggunakan akar walnut untuk Siwak sekali setiap lima hari, ia akan melapangkan fikiran, menajamkan deria dan mengasah daya berfikir”.

Siwak bermanfaat kerana banyak sebab, seperti menyegarkan nafas, menguatkan gusi, membersihkan kahak, menajamkan penglihatan dan mencegah gigi daripada berlubang. Ia menjaga kesihatan perut, menguatkan suara, membantu proses pencernaan, membuat pertuturan lebih jelas dan mendorong seseorang untuk banyak membaca Al-Quran, mengingati Allah dan berdoa. Siwak melawan rasa mengantuk, menyenangkan Tuhan, menggembirakan para malaikat dan menggandakan ganjaran pahala.

Siwak disunatkan kegunaannya pada setiap masa, terutamanya sebelum solat, sebelum berwuduk, ketika bangun tidur dan ketika mulut berbau busuk.

Imam Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu Umar R.A mengatakan bahawa Nabi Muhammad S.A.W menggunakan Siwak pada dua hujung hari (pagi & petang).

Topik tambahan:

Kabath (Buah Pohon Sugi)

Di dalam Kitab Sahih Bukhari & Muslim, diceritakan bahawa Jabir bin Abdullah R.A berkata, “Kami sedang bersama Rasulullah S.A.W ketika mengumpulkan Kabath (buah pohon kayu Al-Arak) ketika Baginda bersabda, “Kumpulkan Kabath berwarna hitam kerana itu adalah jenis yang terbaik(terlazat).”

Kabath adalah buah dari pohon Al-Arak yang tumbuh di kawasan Tanah Hijaz yang dahannya digunakan untuk Siwak(Sugi). Ia bersifat panas dan kering dan ia membawa faedah yang sama seperti dahannya. Ia bermanfaat untuk menguatkan perut, membantu pencernaan, menghilangkan kahak dan melegakan sakit belakang dan beberapa penyakit lain. Ibnu Juljul berkata, “Meminum supnya menghasilkan air kencing sebagai diuretik, serta membersihkan pundi kencing & juga prostat”. Selain itu, Ibnu Ridhwan mengatakan, “Kabath menguatkan perut dan membantu memejalkan najis”.

Leave a Reply