بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Salam sejahtera buat semua.

Memang telah diketahui ramai minyak zaitun begitu besar dan banyak sekali manfaat dan kelebihannya. Kebelakangan ini semakin banyak pengeluaran produk kosmetik yang menggunakan minyak atau ekstrak zaitun sebagai bahan asas. Keberkesanan minyak zaitun sebagai agen pelembap, anti-penuaan dan anti-oksidan telah banyak terbukti dari segi klinikal mahupun secara praktikal (amalan turun-temurun) sejak zaman dahulu kala.

Ia juga digelar pada zaman dahulu sebagai ’emas cecair’ disebabkan manfaatnya yang begitu bernilai!

Tetapi tahukah anda sebenarnya sebutan mengenai kelebihan minyak zaitun telah pun dikongsikan kepada kita oleh Allah Subhaanahu wa Ta’ala, Pencipta dan Pemilik alam semesta ini sendiri? Sememangnya Dialah Zat yang paling layak untuk menceritakan rahsia-rahsia ciptaan, kerana selain Sang Maha Pencipta, siapa lagi yang lebih mengetahui rahsia-rahsia itu daripadaNya?

Di dalam Al-Quran Allah S.W.T. berfirman mengenai minyak zaitun:

 

“يُوقَدُ مِن شَجَرَةٍ مُّبَارَكَةٍ زَيْتُونَةٍ لا شَرْقِيَّةٍ وَلاَ غَرْبِيَّةٍ يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِىءُ وَلَوْ لَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌ”

“Ia dinyalakan dari pohon zaitun yang diberkati, tidak timur (tidak hanya mendapat sinar matahari pada waktu pagi sahaja), dan tidak barat (juga tidak hanya sinar matahari pada sebelah petang sahaja, tetapi ia terdedah kepada matahari sepanjang hari), minyaknya hampir-hampir menyala (kerana begitu cemerlang), walaupun tidak disentuh api. “(An-Nuur : 35)

Begitu juga Utusan dari Allah, Nabi kita Muhammad Sallallaahu Alaihi wa Sallam juga begitu menyarankan penggunaan minyak zaitun di dalam amalan seharian kita, baik untuk penggunaan luaran mahupun untuk dimakan.

 

Diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi dalam  As-Shamail, bahawa Sayyidina Anas Bin Malik Radiyallahu Anhu berkata,

 

“كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يُكثِرُ دُهْنَ رأسِهِ، وتسريحَ لِحيته، وُيكْثِرُ القِنَاعَ كأن ثَوْبَه ثَوْبُ زَيَّاتٍ”

 

“Rasulullah Sallallaahu Alaihi wa Sallam akan meletakkan minyak zaitun pada rambut dan janggut baginda dengan begitu banyak, sehingga qina’ baginda penuh dengan minyak, sehingga ia nampak seolah-olah dipakai  seorang yang bekerja memerah minyak.”

Qina’ adalah sehelai kain yang diletakkan sebagai alas di bawah topi atau ketayap.

Kualiti minyak zaitun bergantung pada pokok yang menghasilkan buahnya. Sebagai contoh, jenis minyak zaitun yang terbaik adalah yang diperah dari buah zaitun yang telah masak. Minyak daripada buah zaitun yang belum masak (berwarna hijau) bersifat sejuk dan kering. Buah zaitun separa masak (berwarna kemerahan) menghasilkan minyak yang bersifat sederhana, sementara buah zaitun masak (berwarna hitam) menghasilkan minyak yang bersifat panas dan melembapkan. Minyak zaitun yang telah lama disimpan lebih panas dan mudah dicerna.

Minyak zaitun merupakan anti-oksidan yang sangat baik, ia membantu meneutralkan racun-racun yang terdapat di dalam badan. Ia juga membantu penghadaman dan sangat berkesan membasmi cacing parasit di dalam tubuh. Apabila dilarutkan dengan air, ia akan menjadi kurang panas, lebih ringan, justeru lebih bermanfaat untuk tubuh anda.

Semua jenis minyak zaitun melembutkan kulit dan melambatkan proses penuaan. Air garam yang dicampur dengan minyak zaitun membantu merawat kulit yang melecur daripada melepuh. Ia juga membantu menguatkan gusi, membuatkan gusi anda lebih tahan dari sebarang penyakit.

Imam At-Tirmidzi dan Ibn Majah meriwayatkan bahawa Abu Hurairah Radiyallahu Anhu berkaitan dari Nabi Muhammad Sallallaahu Alaihi wa Sallam bahawa baginda bersabda:

 

“كُلُوا الزَّيتَ وادَّهِنُوا به، فإنَّه من شَجَرَةٍ مُبَارَكةٍ”

 

“Gunakan minyak zaitun di dalam makanan dan minyakilah rambut atau kulit kamu dengannya, sesungguhnya ia dihasilkan dari pohon yang diberkati”.

Imam Al-Baihaqi dan Ibnu Majah juga meriwayatkan bahawa Abdullah Bin ‘Umar Radiyallahu Anhuma berkata bahawa Rasulullah Sallallaahu Alaihi wa Sallam bersabda:

 

“ائْتَدِمُوا بالزَّيتِ، وادَّهِنُوا به، فإنه من شَجَرَةٍ مُبَارَكةٍ”

 

“Makanlah dengan minyak zaitun (sebagai kuah) dan gunakannya untuk meminyaki rambut dan kulit, kerana ia datang dari pohon yang diberkati”.

Perkataan “ائتدموا” berasal dari perkataan Arab “إدام” (Idaam) yang bermaksud kuah, atau lauk.  Bererti Nabi Muhammad Sallallaahu Alaihi wa Sallam menasihatkan kita agar memasak lauk-pauk dengan menggunakan minyak zaitun yang diberkati itu.

Ini mempamerkan bahawa satu-satunya minyak disyorkan untuk makan, memasak atau mengurut adalah minyak zaitun yang diberkati ini. Adalah satu KEAJAIBAN apabila Allah sendiri telah mencontohkan pokok zaitun dengan Nur (cahaya)Nya yang mulia sepertimana dalam ayat Al-Quran di atas.

Sekarang pembaca yang mulia, bagaimana pandangan anda? Adakah anda mahu mulakan penggunaan minyak zaitun sekarang sehingga seisi rumah anda mendapat keberkatannya?

Leave a Reply