Nak tahu tak apa kebaikan yogurt yang dibuat di rumah? Selalunya bila perlu, kita akan beli je di pasaraya. Betul tak?
Hari ni saya nak kongsikan dengan anda apakah kebaikan yogurt yang dibuat di rumah anda sendiri.

Pertama sekali kenapa yogurt pun nak buat sendiri sedangkan kat pasaraya banyak dijual?
Kan lebih cepat.
Bayar je, terus boleh dapat.

Bagi saya, saya sangat suka yogurt buatan sendiri sebab kebaikannya begitu banyak, jauh berbeza dengan yogurt komersil yang banyak berada di atas rak-rak dingin di pasaraya tu.

Anda nak tahu apa kebaikannya tu?

Ha, antara kebaikan homemade yogurt ni adalah:

1. Rasanya lebih lazat.

Setiap daripada kita ada citarasa yang berlainan, betul tak? Ada yang sukakan yogurtnya betul-betul berasa lemak (creamy). Ada juga yang suka kalau yogurtnya lebih masam. Berdasarkan nisbah susu dan yogurt yang anda campurkan untuk membuat yogurt nanti, rasa akan berbeza-beza. Lebih banyak susu yang anda gunakan, rasanya akan lebih creamy. Lebih banyak yogurt yang anda campurkan, rasanya akan lebih masam. Nanti dalam resipi saya akan terangkan kadar nisbahnya.

2. Buat ikut tekstur yang anda suka.

Ya, anda boleh buatkan yogurt anda samada berbentuk pejal atau seperti krim, terpulang kepada kehendak. Yogurt yang teksturnya seperti krim lebih mudah anda gunakan, samada diminum terus atau dituang ke atas salad atau diguna untuk membuat rawatan muka. Sekejap, rawatan muka? Ya, bukan sahaja untuk kesihatan perut, kita juga boleh gunakan yogurt untuk membuatkan wajah kita semakin cerah dan cantik berseri!
Okey, tentang rawatan muka menggunakan yogurt ni, saya akan berikan link ke artikel yang lain.
Sebelum kita terbabas bercerita tentang topik lain, kita teruskan dulu hal tekstur yogurt kita ya.
Manakala yogurt yang pejal, tahan lebih lama apabila disimpan. Sedang yogurt yang bertekstur krim sifatnya lebih mudah untuk rosak, yogurt yang pejal sebaliknya anda boleh simpan dalam peti ais selama berminggu-minggu dan rasanya masih tidak akan berubah, In Shaa Allah.

3. Menjimatkan belanja dapur.

Haa, sebab lepas ni anda akan mula gunakan yogurt dengan banyak (sebab nak sihat dan cantik kan), penting sangat untuk anda fikirkan bagaimana caranya untuk anda sentiasa ada bekalan yogurt di rumah. Kalau nak beli, memang boleh susah nak tahan lah harganya. Biasanya yogurt tawar (plain) dijual pada harga RM12-15 per kilogram. Kalau buat sendiri, anda boleh dapatkan sebanyak itu dengan hanya separuh harga! Tambahan lagi, anda dapat peluang untuk bereksperimen di dapur kesayangan anda. Seronok bukan?

4. Tiada campuran lain.

Apa sebab utama anda memilih untuk menyediakan sendiri makanan anda di rumah?
Saya tidak pasti tentang anda, tetapi saya dan keluarga lebih suka untuk menyediakan makanan sendiri kerana ingin mengelakkan makanan komersil yang sudah pasti mengandungi bermacam-macam bahan seperti penambah perisa, penstabil, pewarna, pengawet dan banyak lagi.
Pada saya belanja bukanlah masalah utama. Lebih-lebih lagi sekarang ini anda sentiasa akan temui restoran atau warung yang menjual makanan kegemaran anda itu dengan harga yang jauh lebih murah daripada biasa. Bahan-bahan yang dahulunya susah didapati, sekarang boleh dibeli secara meluas dan bahkan mempunyai alternatif pula. Contohnya keju dan sos keju. Dahulunya keju hanya dijual di sebahagian pasaraya sahaja. Tetapi sekarang keju amat mudah didapati, sehinggakan kedai-kedai kecil pun menyimpan keju di dalam chiller mereka. Dan sos keju digunakan begitu meluas sehingga digunakan dalam segala jenis hidangan. Dah tentu anda tahu yang sos keju yang mereka gunakan tu bukannya dibuat dari keju asli pun kan?
Jadi tujuan utama saya dan keluarga mengelak daripada makan di luar adalah semata-mata untuk memastikan makanan kami bebas daripada campuran-campuran yang tidak baik untuk kesihatan.
Dan di dalam semua itu termasuk juga yogurt yang kami semua ingin gunakan.

5. Lebih baik untuk kesihatan.

Sejak ribuan tahun lagi, yogurt, atau susu masam telah digunakan dalam pemakanan manusia kerana kebaikannya. Selain menjadi pencuci mulut yang menyegarkan selepas menikmati hidangan yang berat, ia juga digunakan di dalam masakan untuk menambahkan rasa lemak.
Dan manfaat utama daripada susu masam adalah untuk membantu sistem penghadaman anda bekerja mencerna makanan.
Di sinilah titik penting artikel ini sebenarnya, bagaimana yogurt homemade anda ini berbeza dengan yogurt komersil yang dijual di pasaran.
Tahniah kepada anda yang berjaya sampai ke titik ini.
Untuk yogurt memberi manfaat sebaiknya kepada kita, ia perlu melalui proses pematangan yang sempurna sehingga bakteria baik (probiotik) yang ada di dalamnya boleh bertindak membantu penghadaman. Disebabkan yogurt komersil dihasikan menggunakan proses mekanikal, ia akan mendapat tekstur dan rasa yogurt hanya di dalam masa 4-5 jam sahaja. Ini membuatkan sejenis bakteria baik (lactic acid bacteria@lactobacillus acidophilus) tidak sempat menukarkan kandungan gula asli yang ada di dalam susu (lactose) kepada probiotik, yang sangat bermanfaat untuk penghadaman kita.
Itulah yang selalu menyebabkan mereka yang mempunyai ketidakseimbangan sistem imun akan mengalami bermacam-macam alergi.
Yogurt homemade pula kaya dengan probiotik, yang akan membantu sistem penghadaman anda bekerja lebih baik, menyebabkan perut anda berasa lebih gembira, sihat dan selesa.
Secara peribadi, saya sendiri dan keluarga telah sekian lama tidak lagi membeli yogurt dari pasaran sejak kami mengamalkan yogurt buatan sendiri. Kami dapati kebaikannya begitu banyak untuk kami sekeluarga kerana ia tidak mendatangkan apa-apa alergi, bahkan ia banyak membantu apabila kami mengalami masalah seperti pedih perut, sembelit, gastrik dan banyak lagi.

Sekarang, anda pun dah tahu apa kebaikan yogurt buatan sendiri di rumah, silalah cuba sediakan hari ini! Pasti anda tidak menyesal.
In Shaa Allah. Segala manfaat dan mudarat pun datangnya dari Tuhan kita, Pemelihara semesta alam.

Leave a Reply